Guru yang dipercayai merempuh dua pelajar di depan surau sebuah sekolah di Kota Bharu, Kelantan yang mengorbankan seorang daripadanya semalam direman dua hari.
Siasatan awal mendapati guru terbabit dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan lalu terbabas sebelum terlanggar mangsa.
Seorang lagi mangsa dilapor alami beberapa kecederaan, namun berada dalam keadaan sedar dan stabil.
__
Tiada keperluan untuk memperkenalkan hukuman mati pada Akta Pengangkutan Jalan bagi kes babitkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Menteri Pengangkutan berkata undang-undang sedia ada sudah membolehkan kes serius didakwa di bawah peruntukan bunuh khususnya Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambah Anthony Loke, kerajaan juga tidak bercadang perkenalkannya semula berikutan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi beberapa kesalahan berat sudah dihentikan di negara ini.
__
Dan, pemandu bas ekspres viral kerana didakwa mengendalikan kenderaan itu dengan seorang wanita duduk di atas ribanya, ditamatkan perkhidmatan serta-merta.
Syarikat bas terbabit berkata pihaknya juga ambil langkah penambahbaikan dengan memasang sistem pemantauan video terhadap pemandu dan di dalam bas.