
BERITA| ASTRO Lokasi Pertama Program Singgah Media Merdeka JAPEN
ASTRO menjadi lokasi pertama bagi Program Singgah Media Merdeka Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, hari ini.
Rombongan JAPEN diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik), Pn Rubaayah Osman, disambut oleh Pengarah ASTRO AUDIO, Priya Dharshini Prabakaran, bersama pasukannya.
Dalam lawatan itu, Pn Rubaayah menyeru semua pihak supaya bersama-sama menyemarakkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, termasuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, bangunan serta premis sebagai lambang kecintaan terhadap negara.
Turut berlangsung penyerahan Kit Jalur Gemilang kepada wakil ASTRO dan barisan juruhebah sebagai simbolik sokongan terhadap Kempen Kibar Jalur Gemilang.
Beliau turut dibawa melawat bilik penyiaran berita Astro AWANI dan Astro Audio News.
Program Singgah Media Merdeka yang berlangsung dari 5 hingga 18 Ogos merupakan antara inisiatif JAPEN sempena Bulan Kebangsaan untuk mendekati agensi media dan masyarakat.