Hari ini mendung lagi, langit perlahan-lahan kelam,
Seorang wanita dibuai nyaman, termenung di pangkin,
Sayup terdengar suara anak-anak memanggil ibu.
“Ibu, susu adik dah habis dari semalam”
“Ibu, along kena bayar duit buku latihan, cikgu dah lama minta”
“Ibu, kasut sekolah angah dah tercabut tapak, malu nak pakai”
Guruh pun berdentum, wanita itu tersentak dari lamunan,
Bergegas keluar ke laman, mahu mengangkat jemuran,
Kerana terasa titisan hujan di pipinya.
Namun dicari punca, kerana langit tidak menangis,
Rupa-rupanya air mata yang menitis,
Wanita itu terduduk di laman, meraung kesakitan.

Tiga suara kecil itu mungkin kedengaran biasa dalam sebuah keluarga, tetapi bagi seorang ibu yang baru kehilangan suami, setiap permintaan anak-anak terasa seperti satu lagi beban yang perlahan-lahan diletakkan di atas bahunya.
Lidah wanita itu menjadi kelu kerana fikirannya masih dibelenggu dengan satu kehilangan yang terlalu besar untuk diterima. Lelaki yang selama ini menjadi tempat bergantung, pergi meninggalkan mereka buat selamanya.
Kisah ini mungkin sekadar gambaran tetapi inilah realitinya. Anak-anak masih perlu makan, masih perlu ke sekolah dan masih mempunyai impian yang perlu diteruskan.
Jika anda seorang ketua keluarga yang masih bernyawa, apakah yang akan anda lakukan hari ini untuk mereka yang akan terus hidup selepas ketiadaan anda?
Soalan itu sengaja penulis tinggalkan seketika. Bukan untuk menakutkan, apatah lagi untuk meramalkan kematian. Penulis mahu mengajak kita berhenti sejenak dan memikirkan satu perkara yang sering kita pejam mata ketika masih mempunyai pilihan.
Malang Tidak Berbau
Sebuah keluarga yang bergantung kepada satu sumber pendapatan utama, malang itu bukan sekadar meninggalkan kesedihan, tetapi boleh berubah menjadi kejutan kewangan yang besar. Jika pencari nafkah itu mengalami kecederaan dan tidak mampu bekerja, pendapatan yang ada boleh terkesan untuk membiayai kos rawatan.
Andai kata kehilangan itu lebih besar sehingga meragut nyawa, keluarga yang ditinggalkan bukan sahaja perlu menghadapi kesedihan, malah perlu meneruskan kehidupan tanpa sumber pendapatan yang selama ini memayungi mereka sekeluarga.
Bagi keluarga berpendapatan rendah, ruang untuk menyerap kejutan seperti ini biasanya lebih sempit kerana simpanan mungkin tidak banyak. Tetapi komitmen pula tetap berjalan dan tidak boleh ditangguhkan hanya kerana seorang ibu atau ayah sedang berkabung.
Inilah yang disebut sebagai kejutan pendapatan. Satu peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba sehingga mengganggu keupayaan sesebuah isi rumah untuk memenuhi keperluan asas dan mengekalkan taraf kehidupan seperti sebelumnya.
Dalam hal ini, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, melihat perlindungan sosial sebagai satu bentuk jaringan yang penting khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.
Tambah beliau, Ia bukan janji bahawa seseorang itu tidak akan ditimpa kesusahan tetapi ia menjadi sebahagian daripada jaring yang disediakan lebih awal supaya apabila mereka jatuh, keluarganya tidak jatuh bersama.

Payung Yang Melindungi
Di sini LINDUNG 24 Jam mengambil tempat dalam perbincangan mengenai perlindungan seorang pekerja yang juga menggalas tugas ketua keluarga.
Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja itu diperkenalkan pada 1 Jun 2026 bagi memperluas perlindungan kepada pekerja yang kemalangan dan tidak berkaitan dengan pekerjaan. Kadar caruman skim itu bagi dua tahun pertama pula ditetapkan pada 0.75 peratus.
Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang berkata inisiatif ini sebenarnya berkait rapat dengan cara rakyat Malaysia bekerja dan bagaimana mereka menjalani kehidupan pada hari ini.

Beliau berkata seorang pekerja adalah juga seorang suami yang perlu memberi nafkah kepada isteri, seorang ayah yang membawa keluarga keluar pada hujung minggu dan juga seorang manusia yang terdedah kepada risiko ketika menjalani kehidupan seharian.
Oleh sebab itu, perlindungan tidak seharusnya berhenti pada pintu masuk tempat kerja kerana seorang pekerja sektor formal di negara ini menghabiskan kira-kira 33 peratus masa setahun untuk bekerja termasuk perjalanan pergi dan balik.
Ini menyaksikan baki 67 peratus dihabiskan di luar waktu bekerja iaitu tempoh yang turut terdedah kepada risiko kemalangan.
Menurut Edmund, dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan LINDUNG 24 jam, PERKESO menerima lebih 6,000 tuntutan dengan jumlah bayaran faedah mencecah RM9 juta. Faedah yang disalurkan ialah termasuk faedah pengurusan mayat dan faedah orang tanggungan.
Titik Perubahan
Namun di sebalik angka itu, ada perkara yang lebih penting untuk dicerna apabila kira-kira 87 peratus pekerja memilih untuk kekal dalam skim LINDUNG 24 jam selepas kerajaan tidak lagi mewajibkan carumannya kepada pekerja tempatan.
Manakala kira-kira 12 peratus pekerja memilih untuk keluar
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed, daripada 12.4 peratus pekerja yang memilih untuk menarik diri, hampir 52 peratus merupakan mereka yang bergaji bawah RM3,500.
Beliau turut berkongsi data daripada Bank Negara Malaysia 2024 yang menunjukkan hanya 45.5 peratus rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat, manakala kadar penyertaan dalam kalangan kumpulan B40 jauh lebih rendah iaitu sekitar 4 peratus.
Ini sekali gus menjadikan golongan itu sebagai kumpulan terbesar yang mengambil keputusan tidak menyertai skim berkenaan.

Penulis mahu membawa kembali kepada persoalan awal penulisan ini iaitu seorang ibu yang masih perlu menjawab permintaan anak tentang susu, buku latihan dan kasut sekolah walaupun sumber pendapatan keluarga sudah tiada.
Berapa lama sebuah keluarga mampu bertahan jika simpanan tidak mencukupi, perlindungan persendirian terbatas dan satu-satunya pencari nafkah tiba-tiba tidak lagi mampu menyumbang pendapatan?
Ini Tentang Realiti
Dr Afzanizam melihat persoalan itu daripada sudut yang lebih luas dan bukannya untuk menghakimi kemampuan keluarga B40. Sebaliknya mahu mereka faham akan realiti dunia pada hari ini yang mempunyai kos tersendiri.
"Jika tiada perlindungan sosial, pendapatan yang sememangnya sudah rendah, ditambah pula dengan kesan daripada kemalangan, boleh menyebabkan keadaan kewangan seorang ketua keluarga itu menjadi semakin tertekan."
Menurut beliau, di sinilah masyarakat perlu faham mengenai perbezaan menabung dan mengurus risiko. Menabung memerlukan masa untuk mengumpulkan jumlah yang mencukupi, sedangkan musibah tidak pernah menunggu.

Mungkin inilah perkara paling sukar untuk diterima oleh masyarakat. Selagi gaji masuk setiap bulan, tubuh masih sihat dan ‘aku kuat’, perlindungan sosial mudah dianggap sebagai sesuatu yang boleh difikirkan kemudian.
Namun, kita perlu berulang kali mengingatkan diri bahawa hanya Tuhan yang mengetahui setiap sesuatu perkara. Kita mungkin sudah berhati-hati dan berusaha mengelakkan segala kemungkinan, tetapi kemalangan boleh berlaku dalam keadaan yang tidak pernah kita jangka.
Dalam hal ini, PERKESO menyifatkan setiap caruman itu bukan semata-mata sebagai wang yang dikeluarkan untuk diri sendiri. Edmund mengajak pencarum untuk melihat caruman itu sebagai sesuatu yang dibina untuk keluarga sendiri.
"Lihatlah caruman itu sebagai pelaburan untuk isteri dan anak-anak. Kerana apabila kita tiada atau tidak lagi mampu bekerja, merekalah yang perlu meneruskan kehidupan dan perlindungan itu mungkin menjadi peluang kedua untuk mereka meneruskan impian yang pernah kita bina bersama."
Menurut Edmund, mereka yang datang ke PERKESO bukan kerana mahu menikmati faedah yang dijanjikan, tetapi kerana mereka sedang melalui satu musibah yang memerlukan bantuan pada ketika ia benar-benar diperlukan.
Tambah beliau, perlindungan sosial tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan berapa banyak yang dibayar setiap bulan, sebaliknya berdasarkan sejauh mana ia mampu mengurangkan beban apabila kehidupan tiba-tiba berubah arah.
Dalam hal ini, PERKESO sentiasa memberi peluang kedua kepada mereka yang mahu kembali bersama LINDUNG 24 jam selepas memilih untuk keluar daripada skim itu. Mungkin kerana keputusan yang terburu-buru.
Edmund memaklumkan penyertaan semula LINDUNG 24 Jam dibuka pada bila-bila masa secara dalam talian melalui lindungfaedah.perkeso.gov.my tanpa had tempoh untuk memberi masa yang secukupnya kepada mereka yang terdetik untuk mencarum semula.
Tepuk Dada, Tanya Selera
Pada akhirnya, tidak ada siapa yang tahu bila perjalanan pulang dari tempat kerja akan menjadi perjalanan terakhir dan tidak ada seorang ayah pun yang mampu menjanjikan kepada anak-anaknya bahawa dia akan sentiasa berada di sisi sehingga mereka dewasa.
Ini kerana semua perkara dan pilihan terletak pada diri sendiri. Ketika masih hidup, masih sihat dan masih mempunyai peluang, tanya semula kepada diri;
Jika aku tiada esok, apa yang sudah aku sediakan untuk mereka?
Mungkin bagi seorang lelaki, ia hanya satu keputusan kecil yang dibuat ketika dia masih mempunyai pilihan. Tetapi bagi seorang isteri dan anak-anak yang suatu hari nanti mungkin terpaksa meneruskan hidup tanpa dirinya, keputusan itu akan terasa berat.
Seorang ketua keluarga yang bekerja keras mungkin tidak mampu menjanjikan bahawa dia akan sentiasa berada di sisi keluarganya. Tetapi selagi dia masih diberi kesempatan dan memiliki peluang kedua, dia masih mampu meninggalkan perlindungan untuk mereka.