
Gambar Hiasan
Isu termakan ayam yang tidak disembelih mengikut syariat Islam atau bangkai mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam, khususnya mengenai hukum dan tanggungjawab individu yang memakannya tanpa mengetahui perkara sebenar.
Advertisement
Menjelaskan persoalan tersebut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi perkongsian di Threads menjelaskan bahawa hukum bagi situasi berkenaan perlu dibezakan berdasarkan keadaan serta tahap pengetahuan seseorang.
Menurut beliau, individu yang termakan ayam tidak halal kerana tidak mengetahui status sebenar makanan tersebut dan menyangka ia telah disembelih mengikut syarak tidak berdosa atas perbuatan yang dilakukan tanpa sengaja.
Perkara itu selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 5 yang bermaksud:
"Dan tidaklah menjadi kesalahan ke atas kamu terhadap perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa ialah) apa yang disengajakan oleh hati kamu."
Bagaimanapun, Dr Zulkifli menjelaskan bahawa terdapat pengecualian bagi individu yang mengetahui ayam berkenaan tidak disembelih mengikut syarak, tetapi terpaksa memakannya atas faktor keuzuran atau darurat yang dibenarkan oleh agama.
Dalam keadaan sedemikian, individu berkenaan tidak berdosa selagi memenuhi syarat darurat, iaitu bukan kerana menginginkannya atau sengaja melampaui batas.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 173 yang bermaksud:
"Maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat), sedang dia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas, maka tiadalah dosa atasnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Gambar Hiasan
Namun begitu, hukumnya berbeza sekiranya seseorang mengetahui ayam tersebut tidak disembelih mengikut syariat Islam, tetapi tetap memakannya secara sengaja tanpa sebarang keuzuran atau darurat yang dibenarkan syarak.
Jelas beliau, perbuatan tersebut adalah haram dan pelakunya berdosa kerana memakan makanan yang telah diharamkan oleh Allah SWT.
Larangan berkenaan dinyatakan dalam Surah al-Ma'idah, ayat 3 yang menerangkan beberapa jenis makanan yang diharamkan, termasuk bangkai, darah, daging babi serta haiwan yang mati akibat tercekik, dipukul, terjatuh dari tempat tinggi, ditanduk atau dimakan binatang buas, kecuali yang sempat disembelih mengikut ketetapan syarak.
Penjelasan tersebut memperlihatkan bahawa hukum memakan ayam yang tidak halal bukan sekadar bergantung pada status makanan itu, sebaliknya turut mengambil kira pengetahuan, niat dan keadaan individu yang terlibat.
Justeru, umat Islam perlu sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan serta memastikan sumber dan proses penyediaannya menepati tuntutan syariat Islam.