Skip to main content

Advertisement

Berita

Setiap Suara Ada Cerita, BSN Santuni Warga Astro Audio Sempena Hari Kebangsaan 2026

Dalam menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2026, Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ telah menyantuni warga kerja Astro Audio sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen mereka dalam menyampaikan maklumat, hiburan serta kandungan yang memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Program tersebut menyaksikan pengagihan cenderamata kepada petugas Astro Audio sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan mereka yang sentiasa menjadi antara penghubung penting antara maklumat, hiburan dan masyarakat.

Advertisement

Delegasi BSN diketuai oleh Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid, bersama barisan petugas BSN yang hadir bagi mendekati warga Astro Audio dan meraikan sumbangan mereka dalam industri penyiaran negara.

Kehadiran mereka turut disambut oleh Pengarah Astro, Priya Dharshini Prabakaran, bersama barisan pengurusan serta kakitangan Astro Audio.

Menghargai Individu Di Sebalik Suara Yang Menghubungkan Rakyat

Kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ merupakan inisiatif BSN untuk menghargai individu dan organisasi daripada pelbagai sektor yang memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang progresif, bersatu padu dan berdaya tahan.

Menerusi kempen ini, BSN mengetengahkan kisah-kisah inspirasi rakyat Malaysia yang mencerminkan nilai patriotisme, perpaduan serta kebanggaan terhadap tanah air.

Menurut Mujibburrahman, petugas media dan penyiaran merupakan antara tulang belakang negara yang memainkan peranan besar dalam menyampaikan maklumat yang tepat, mencetuskan perbincangan membina serta menghubungkan rakyat daripada pelbagai latar belakang.

BSN amat menghargai sumbangan petugas Astro Audio yang saban hari menjadi suara yang mendekatkan rakyat dengan pelbagai informasi, hiburan dan kisah yang menyatukan kita sebagai sebuah bangsa. Melalui Kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’, kami ingin meraikan peranan mereka yang tidak pernah jemu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa semangat Hari Kebangsaan bukan sekadar diraikan menerusi sambutan, kibaran Jalur Gemilang atau simbolik kenegaraan semata-mata.

Sebaliknya, semangat cintakan negara juga dapat dizahirkan melalui penghargaan terhadap individu yang menjalankan tanggungjawab masing-masing dan memberi sumbangan bermakna dalam kehidupan harian masyarakat.

Mengukuhkan Hubungan, Menyemarakkan Semangat Kebersamaan

Sementara itu, Priya Dharshini menyambut baik inisiatif BSN yang memberikan pengiktirafan kepada warga kerja Astro Audio, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua organisasi.

Program berkenaan bukan sahaja menjadi medan penghargaan kepada petugas yang bekerja keras di sebalik tabir dan di hadapan mikrofon, malah turut membuka ruang untuk mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan semangat kebersamaan.

Dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan yang semakin terasa, usaha seperti ini membawa mesej bahawa setiap individu, tanpa mengira bidang dan latar belakang, mempunyai peranan tersendiri dalam menyumbang kepada kemajuan negara.

Melalui pelaksanaan pelbagai program di bawah Kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’, BSN komited untuk terus menghargai jasa, pengorbanan dan sumbangan rakyat Malaysia daripada pelbagai sektor.

Kerana di sebalik setiap tugas, terdapat sebuah cerita. Dan di sebalik setiap cerita rakyat Malaysia, tersemat semangat, perjuangan dan jiwa yang bersama-sama membentuk sebuah negara.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda