Skip to main content

Advertisement

Budaya & Masyarakat

Lelaki Baiki Sendiri Laluan Rosak Demi Keselamatan OKU Buat Netizen Sebak - “Semoga Pahala Abang Terus Mengalir…”

Foto: Tangkap layar video TikTok

Tindakan seorang lelaki membaiki sendiri laluan pejalan kaki yang rosak di Kota Bharu, Kelantan mengundang pujian ramai selepas videonya tular di media sosial.

Advertisement

Menerusi perkongsian di TikTok @hiyaz_official, individu daripada Hiyaz Community itu dilihat turun padang membaiki laluan yang sudah tidak rata dan rosak, dipercayai boleh membahayakan orang ramai termasuk golongan orang kurang upaya.

Menurut lelaki berkenaan, dia terpanggil untuk melakukan kerja tersebut kerana tidak mahu pengguna cacat penglihatan berisiko terjatuh ketika melalui kawasan itu.

“Bukan kerja saya, tapi saya tak boleh biarkan orang buta jatuh di sini,” katanya menerusi video terbabit.

Rakaman tersebut menunjukkan beberapa blok laluan pejalan kaki telah pecah dan tertanggal sehingga permukaannya menjadi tidak sekata.

Bagi memastikan kawasan itu lebih selamat digunakan, dia membuka semula jubin yang rosak sebelum mengisi pasir pada bahagian mendap dan menyusun semula blok berkenaan satu persatu.

 

@hiyaz_official #Restore #Blind #City #Volunteer #KotaBharu ♬ young and beautiful - moiseslyricsss

 

 

Difahamkan, segala kos termasuk bahan dan peralatan digunakan adalah hasil perbelanjaannya sendiri.

Walaupun pembaikan dilakukan secara ringkas, keadaan laluan itu dilihat jauh lebih baik dan selamat berbanding sebelumnya.

Video berkenaan kini meraih lebih 1.5 juta tontonan di TikTok selain dibanjiri komen positif daripada netizen yang menghargai usaha murninya.

“Selagi jalan ni digunakan orang, selagi itu pahala abang terus mengalir,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Kadang bukan sebab tak ada pihak bertanggungjawab, tapi sebab masih ada manusia yang hati dia terlalu baik nak tengok orang susah,” komen seorang lagi netizen.

Malah ramai menyifatkan tindakan lelaki itu lebih bermakna kerana dilakukan tanpa kamera besar, publisiti atau mengharapkan balasan.

“Benda kecil macam ni sebenarnya besar untuk golongan OKU. Terima kasih sebab fikir keselamatan mereka,” ujar seorang pengguna lain.

Selain ucapan terima kasih, tidak kurang juga ada yang berseloroh mengatakan kerja membaiki laluan itu siap lebih cepat kerana tidak perlu menunggu proses tender atau mesyuarat panjang terlebih dahulu.

Sumber: TikTok @hiyaz_official

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda