Laporan Oleh: Najib Nazri
"Malang tidak berbau."
Peribahasa Melayu itu sering dikaitkan dengan kemalangan yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga. Dalam konteks pekerjaan, risiko keselamatan bukan sahaja hadir dalam bentuk kemalangan fizikal, malah boleh berpunca daripada faktor kesihatan seperti obesiti yang semakin membimbangkan dalam kalangan pekerja.
Mutakhir ini, timbul cadangan supaya penggunaan lif dihadkan pada waktu tertentu sebagai langkah menggalakkan pekerja mengamalkan gaya hidup lebih aktif. Walaupun cadangan itu dilihat mempunyai niat yang baik, pelbagai pihak berpandangan pelaksanaannya perlu dinilai secara menyeluruh bagi mengelakkan kesan sampingan terhadap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja.
Obesiti Bukan Sekadar Isu Gaya Hidup
Presiden Persatuan Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Rohana Abdul Ghani berkata obesiti perlu difahami sebagai penyakit kronik yang melibatkan pelbagai faktor termasuk genetik, hormon, persekitaran dan gaya hidup.
Menurut beliau, masyarakat masih cenderung melabel individu obesiti sebagai malas atau tidak menjaga pemakanan sedangkan persepsi itu merupakan stigma yang tidak membantu proses pemulihan.

Sementara itu, beliau berpandangan cadangan menghadkan penggunaan lif mungkin dilihat sebagai strategi yang baik untuk meningkatkan aktiviti fizikal, namun ia terlalu menyederhanakan isu obesiti yang sebenarnya lebih kompleks.
Tambah beliau, kira-kira satu pertiga individu obesiti mempunyai masalah jantung sama ada disedari atau tidak. Justeru, memaksa mereka menggunakan tangga tanpa penilaian kesihatan boleh meningkatkan risiko komplikasi kesihatan dan kemalangan.
“Selain faktor fizikal, aspek psikologi juga perlu diberi perhatian kerana tindakan sedemikian berpotensi menimbulkan rasa malu, rendah diri dan tekanan emosi dalam kalangan pekerja.”
Menurut Prof. Rohana, dasar berkaitan kesihatan pekerja seharusnya memberi galakan dan sokongan, bukannya berbentuk paksaan kerana setiap individu mempunyai tahap kemampuan fizikal yang berbeza.
Keselamatan Pekerjaan Tidak Boleh Dikompromi
Dari sudut keselamatan dan kesihatan pekerjaan, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berpandangan obesiti boleh menjadi faktor risiko di tempat kerja kerana ia meningkatkan kemungkinan berlakunya kecederaan, masalah muskuloskeletal, penyakit kronik serta menjejaskan keupayaan fizikal pekerja dalam menjalankan tugas tertentu.
Sehubungan itu, cadangan menghadkan penggunaan lif bagi menggalakkan aktiviti fizikal perlu dinilai secara berhati-hati. Walaupun bertujuan meningkatkan kesihatan pekerja, pelaksanaannya tanpa penilaian risiko yang menyeluruh boleh meningkatkan risiko kemalangan seperti jatuh di tangga, kecederaan sendi serta komplikasi kesihatan dalam kalangan pekerja yang mempunyai penyakit kronik atau mobiliti terhad.
Menurut NIOSH, majikan mempunyai tanggungjawab di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara. Oleh itu, setiap intervensi kesihatan perlu disokong dengan penilaian risiko (HIRARC), dilaksanakan secara selamat, mempunyai pengecualian yang munasabah dan tidak menjejaskan keselamatan pekerja.

Reka Bentuk Bangunan Perlu Ambil Kira Semua Pengguna
Isu ini turut melibatkan aspek pembangunan dan perancangan bangunan.
Kontraktor Berdaftar CIDB, Mahanom Mohammad berkata obesiti dalam kalangan pekerja perlu diambil kira kerana ia boleh mempengaruhi keselamatan operasi sesebuah bangunan, terutama ketika berlaku kecemasan seperti kebakaran.
Menurut beliau, individu yang mempunyai masalah obesiti lazimnya lebih cepat letih dan mungkin menghadapi kesukaran bergerak ketika proses pemindahan kecemasan. Keadaan itu berpotensi melambatkan pergerakan penghuni lain dan meningkatkan risiko keselamatan keseluruhan bangunan.
“Tangga dan laluan kecemasan pada asalnya direka untuk fungsi tertentu, justeru sebarang cadangan menghadkan penggunaan lif perlu disokong oleh kemudahan yang sesuai termasuk tangga yang luas, terang, selesa dan mampu menampung pelbagai kategori pengguna.”
Mahanom menegaskan pembangunan mampan bukan sekadar tertumpu kepada struktur fizikal, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan manusia secara menyeluruh.

Aktiviti Fizikal Perlu Dilaksanakan Secara Selamat
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Muhamad Hazizi Muhamad Hasani pula berpandangan usaha meningkatkan aktiviti fizikal dalam kalangan pekerja sememangnya penting, namun perlu dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut kemampuan individu.
Beliau mencadangkan pekerja memulakan aktiviti ringan seperti berjalan kaki selama 10 hingga 15 minit sehari sebelum meningkatkan tahap aktiviti secara beransur-ansur.
“Aktiviti berimpak rendah seperti berjalan, berbasikal statik dan berenang terbukti mampu meningkatkan aliran darah ke otak, mengurangkan tekanan serta memperbaiki tahap tumpuan dan emosi.”
Pada masa sama, beliau mengingatkan majikan supaya peka terhadap tanda-tanda awal kemerosotan kesihatan pekerja seperti keletihan melampau, kerap mengantuk, hilang tumpuan, prestasi kerja menurun dan kekerapan mengambil cuti sakit.

Kesihatan Adalah Tanggungjawab Bersama
Sementara itu, Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO, Dr. Azlan Darus menegaskan bahawa setiap dasar berkaitan kesihatan pekerja perlu dirangka dengan mengambil kira faktor keselamatan secara menyeluruh.
Menurut beliau, jika penggunaan tangga mahu digalakkan, pengurusan bangunan perlu memastikan kemudahan tersebut berada dalam keadaan selamat, bersih, terang dan mempunyai pengudaraan yang baik.
“Budaya hidup sihat di tempat kerja tidak boleh dipikul oleh pekerja semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara pekerja dan majikan.”

Dr. Azlan berpandangan kesihatan bukan sekadar usaha mengelakkan penyakit, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat kepada individu, keluarga, organisasi dan negara.
Galakan Lebih Berkesan Daripada Paksaan
Secara keseluruhannya, isu obesiti dalam kalangan pekerja memerlukan pendekatan yang seimbang antara promosi kesihatan dan aspek keselamatan pekerjaan.
Walaupun penggunaan tangga mampu membantu meningkatkan aktiviti fizikal, pelaksanaannya tidak boleh dilakukan secara menyeluruh tanpa mengambil kira faktor kesihatan individu, risiko keselamatan serta kesesuaian infrastruktur bangunan.
Kesihatan tidak boleh dipaksa. Sebaliknya, ia perlu dipupuk melalui dasar yang inklusif, persekitaran kerja yang menyokong dan budaya hidup sihat yang dibina secara bersama.
Bertepatan dengan pepatah "mencegah lebih baik daripada mengubati", usaha menangani obesiti di tempat kerja memerlukan kebijaksanaan semua pihak agar kesejahteraan pekerja dapat dipertingkatkan tanpa mengorbankan aspek keselamatan dan hak mereka.