CYBERJAYA, 22 APRIL 2024 – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) menyatakan sokongan penuh kepada seruan YB Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang telah menyampaikan amaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada ibu-bapa untuk memastikan bahawa kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial sendiri. Keperluan ini juga sejajar dengan pendirian yang diambil oleh kebanyakan platform media sosial.
CMCF juga menyarankan agar ibu-bapa dan penjaga memastikan bahawa kanak-kanak hanya diberikan akses kepada peranti dan kandungan di Internet dengan pengawasan dan pemantauan yang sewajarnya.
Seperti yang dinyatakan oleh YB Menteri, adalah penting bagi ibu bapa untuk mengambil tanggungjawab memelihara anak-anak mereka daripada terdedah kepada risiko dan ancaman yang wujud di media sosial.
Berikut adalah beberapa sebab utama mengapa langkah ini sangat penting:
- Perlindungan Keselamatan Kanak-Kanak: Kanak-kanak di bawah umur 13 tahun mungkin tidak memahami sepenuhnya risiko yang terlibat dalam menggunakan media sosial. Tanpa pengawasan yang betul, mereka boleh menjadi mangsa kepada aktiviti tidak selamat seperti penipuan, keganasan siber, atau pergaulan yang memudaratkan.
- Penularan Trend dan Cabaran (‘Trends and Challenges’): Fenomena trend dan cabaran yang sering disertai oleh ramai pengguna media sosial juga boleh menimbulkan risiko kepada kanak-kanak yang takut ketinggalan dan ingin menjadi viral. Sesetengah daripada perkara ini adalah amat membahayakan dan ibu-bapa mungkin tidak sedar akan kewujudannya.
- Pemeliharaan Kesejahteraan Emosi: Media sosial mungkin memberi tekanan kepada anak-anak yang masih belum matang atau berupaya untuk mengawal emosi mereka dengan baik. Pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan emosi dan psikologi mereka.
- Privasi dan Keselamatan Peribadi: Kanak-kanak lebih cenderung untuk berkongsi maklumat peribadi secara terbuka di platform media sosial kerana mereka belum memahami bahaya dan risiko yang bakal timbul. Ini boleh membuka pintu kepada pencerobohan privasi atau perkongsian maklumat kepada mereka yang berniat jahat.
CMCF ingin menggalakkan ibu bapa untuk menyedari risiko dan bahaya yang wujud di media sosial, terutamanya bagi kanak-kanak. Adalah penting untuk ibu-bapa berkomunikasi secara terbuka dengan anak-anak tentang penggunaan media sosial dan untuk memastikan mereka memahami langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil.
Bagi ibu bapa dan individu yang ingin mengetahui lebih lanjut untuk memahami risiko digital serta langkah-langkah yang sesuai untuk melindungi diri mereka dan keluarga mereka, CMCF menyediakan sumber maklumat dan sokongan yang diperlukan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF)
E-mel: secretariat@contentforum.my Laman web: www.contentforum.my
Media Sosial: @mycontentforum
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.